Wednesday, June 16, 2010

Keselamatan dan Keamanan dari Perspektif Islam (Bhg 2)

Rasa Takut

Sudah sampailah masanya Islam perlu dilihat sebagai agama yang membawa keselamatan dan keamanan kepada umat manusia seperti apa yang dilakukan oleh Rasululah s.a.w..Rasa bimbang di dada umat Islam apatah di mata musuh Islam perlu dibaiki. Mesej dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. bersandarkan keamanan dan keselamatan perlu diguna dan dibangunkan semula oleh umat Islam kini.
Apabila mesyuarah menjadi keutamaan baginda, maka itulah juga yang sepatutnya menjadi keutamaan umat Islam masa kini. Jika Rasulullah s.a.w. dapat bertolak ansur dengan kaum musyrikin dalam Perjanjian Hudaibiah apakah kita tidak boleh mengamalkan sikap demikian? Sayangnya ketika mencari perpaduan sesama umat Islam masa kini, kita melihat ada golongan Islam yang lebih mengutamakan syarat daripada kesatuan dan kesejahteraan umat.

Perlu ditegaskan lagi bahawa Rasulullah s.a.w. hendaklah dijadikan contoh. Kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Rasulullah perlu diikuti lebih-lebih lagi oleh mereka yang menganggap diri mereka sebagai ulama. Kita juga perlu mencontohi keamanan dan kesejahteraan yang menjadi strategi Rasulullah s.a.w. dalam meningkatkan dakwah di kalangan mereka yang bukan Islam. Serentak itu Rasulullah s.a.w. berjaya menjadi model lantaran mempamerkan kepada musuh baginda bahawa Islam mementingkan kesejahteraan bukannya permusuhan.

Menyumbang

Kini negara kita sedang bergelut dengan kemelesetan ekonomi. Sebagai umat yang mahu menjadikan dirinya contoh dan inginkan Islam dilihat sebagai agama pembawa keamanan, kita perlu menyumbangkan sesuatu yang baik kepada keharmonian rakyat di negara ini.
Kemelesetan ekonomi akan mengundang pelbagai kemungkinan dalam kehidupan masyarakat. Kegelisahan kemurungan dan ketidak stabilan politik boleh wujud pada bila-bila masa seperti apa yang terjadi kepada beberapa negara jiran. Di sinilah letaknya peranan kita untuk mempamerkan kemurnian ajaran Islam. Dengan itu umat Islam di negara ini perlu memperlihatkan sikapnya menghargai keamanan. Ini kerana keamanan adalah elemen yang sangat penting untuk kita menebus maruah negara yang “mungkin” tergadai.Apatalah lagi jika pucuk pimpinannya dipegang oleh orang Islam. Jika kepimpinannya tumbang maka tidak mustahil martabat Islam yang kita letakkan di tempat yang tinggi negara ini akan turut goyang.
Inilah yang perlu kita elakkan dan jika ia berlaku juga “dunia” akan mencaci kita. Mereka akan mengaitkan kegagalan kepimpinan Islam dengan agama Islam yang kita bawa.Maka sudah tentu kita tidak mahu mereka menyamakan negara ini sama dengan negara Islam lain yang rata-rata mundur lantaran kegagalan pemimpinnya menguasai ekonomi negara.

Belum Terlambat

Kita masih belum terlambat. Agama Islam yang cemerlang perlu lebih dicemerlangkan lagi melalui tindak-tanduk umatnya. Islam agama yang mementingkan keselamatan perlu ditonjolkan oleh umatnya melalui tuturkata dan tingkah laku yang berhemat. Kata-kata memaki, mengancam dan menghina sesama Islam perlu dihentikan kerana ia tidak menggambarkan keselamatan dan keamanan yang dibawa oleh Islam.
Orang yang masih melakukan perbuatan demikian samalah seperti orang yang menganjurkan permusuhan dalam kehidupan umat. Orang yang menganjurkan permusuhan diibaratkan orang yang berdiri di tepi jurang neraka yang hanya menunggu saat kehancurannya.
Justeru itu Islam melihat penganjur keamanan sebagai faktor yang akan menyelamatkannya daripada dihumban ke dalam api neraka. Sesiapa juga perlu menyedari betapa pentingnya keamanan dan keselamatan dipelihara. Malah, bukan hanya sekadar sedar tetapi hendaklah dengan penuh iltizam memeliharanya. Memelihara keselamatan dan kesejahteraan di dunia berkait rapat juga dengan memelihara keamanan dan kesejahteraan kehidupan kita di akhirat nanti.